Hedonisme merupakan isu sosial yang hebat diperkatakan masa kini. Boleh dikatakan banyak pihak yang menentang gejala hedonisme kerana ia merupakan satu perilaku ‘sub-budaya’ yang negatif kepada masyarakat terutamanya golongan remaja.
Kita sebagai rakyat Malaysia yang memartabatkan Islam sebagai agama persekutuan dan berpegang kepada adab budaya ketimuran perlu menolak gejala ini. Malah, seluruh negara dan bangsa yang menghormati adab ketimuran serta berpegang kepada amalan dan kepercayaan agama-agama lain juga pasti tidak bersetuju terhadapnya.
Maksud Hedonisme
Hedonisme berasal dari perkataan Greek dan telah wujud sebelum Masihi lagi. Ia membawa maksud ‘kesenangan’ atau dalam erta kata lain, menjadikan kesenangan dunia untuk beroleh ketenangan rohani. Ia adalah pola pemikiran yang menjadikan hiburan sebagai jalan untuk bebas dari permasalahan dan tekanan batas kehidupan yang dianggap rumit. Salah satu masyarakat yang mengamalkan hedonisme ialah masyarakat Pompeii. Kini, masyarakat Pompeii hanya terbuku dalam lipatan sejarah dunia. Penjelasan tentang hedonisme secara intelek boleh juga dirujuk di Wikipedia.
Gejala Hedonisme dalam masyarakat kini.
Kini… hedonisme telah menjadi ‘ideologi’ gaya hidup bebas terutamanya remaja dan golongan belia sesetengah masyarakat kita. Ia menyusup masuk secara halus tanpa kebanyakkan dari kita sedari. Berdasarkan pengkajian, budaya hedonisme ini sebenarnya telah bertapak di Malaysia sejak era 60an lagi tetapi dalam skala yang sangat kecil. Namun dari era joget lambak, cha-cha dan rock n roll, ia berkembang secara senyap sehinggalah ke era musik tekno, jungle dan sebagainya, seterusnya bangkit menjadi satu sub budaya yang boleh menggugat kesejahteraan masyarakat.
![]() |
Hiasan Gambar - Google |
Budaya hedonisme mengutamakan hiburan dan pergaulan bebas semata-mata… “apa-apa pun ok, janji fun… “. Tak kisahlah apa cara sekalipun asalkan ianya dapat menaikkan kepuasan berhibur pada tahap yang maksimum dan berterusan. Kepada yang biasa mengikuti pesta, konsert atau gigs yang pada asasnya adalah biasa pastinya pernah mengalami situasi dimana sesuatu yang tidak dijangka menjadikan pesta atau konsert itu lebih ‘havoc’, panas atau merapu dari yang disangkakan. Kebiasaannya tamat pada jam 12 malam, tetapi ‘crowd’nya berterusan sehingga pagi. Ada juga yang menyambung pergi ke tempat-tempat hiburan lain atau berpesta di rumah-rumah bujang dan terus ber’party’ hingga ke siang hari... "berpesta tak ingat dunia punya".... itulah budaya hedonisme dan ia bermula dalam diri masyarakat itu sendiri.
Punca suburnya gejala Hedonisme dalam masyarakat
Boleh dikatakan yang ia terhasil akibat daripada keruntuhan dan kurangnya keperihatinan dalam institusi kekeluargaan dan kejiranan. Ia bukan sahaja boleh terjadi dalam keluarga yang berantakan, tetapi juga dalam keluarga yang berjaya. Anak-anak muda merasakan tiada sokongan dan pemahaman dari keluarga terhadap jiwa dan trend dunia mereka. Jiwa ‘rebel’ mereka memilih cara hidup hedonisme sebagai sub budaya untuk mengisi kekosongan jiwa melalui pengaruh dan tekanan rakan sebaya (peer pressure) tanpa mereka sendiri sedari. Akhirnya ada yang sanggup menipu ibu bapa dengan meminta izin untuk tidur di rumah kawan, sebaliknya pergi berhibur di tempat-tempat lain…
Hedonisme adalah trend kuno yang semakin berleluasa dalam dunia modernisasi. Trend jahiliah yang merosakkan diri serta masa depan sosio-ekonomi negara. Budaya yang buruk lagi memburukkan buat masyarakat kita yang mengakui bahawa Islam itu adalah agama dan panduan hidup kita.
"Jika mahu melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah keadaan anak muda hari ini"
-Imam Al Ghazali -
Marilah kita bersama-sama menolak budaya atau ideologi hedonisme ini secara total. Semoga seluruh masyarakat kita dihindari dari sebarang musibah dan kehancuran… aamiin.
No comments:
Post a Comment